ABSTRAK
Kajian ini dijalankan untuk mengatasi masalah – masalah yang dihadapi oleh murid – murid Tahun 5BIJAK di dalam menyelesaikan soalan – soalan yang melibatkan operasi darab yang mana berpunca daripada masalah sukar untuk menghafal dan mengingati sifir darab yang dipelajari. Seramai 22 oang murid Tahun 5BIJAK Sekolah Kebangsaan Gedangsa dan dua orang guru terlibat dalam kajian ini. Tinjauan awal telah dilaksanakan dengan menggunakan Ujian Pra sebagai indikator. Hasil tinjauan menunjukkan kebanyakkan murid tidak dapat menjawab soalan berkaitan operasi darab empat nombor dengan dua nombor kerana mereka amat lemah dalam mengingati sifir dan kesilapan juga berlaku dalam penyusunan nombor sewaktu menyelesaikan operasi darab. Perancangan tindakan difokuskan kepada cara termudah dan berkesan dengan menggunakan KAEDAH MAYAN iaitu menggunakan garisan sebagai ganti kepada nombor. Keputusan ujian pos telah menunjukkan peningkatan prestasi murid – murid dalam menyelesaikan masalah operasi darab. Dapatan soal selidik pula menunjukkan murid – murid bertambah yakin dalam menyelesaikan operasi darab yang panjang........
1.0 REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN LALU
Murid Tahun 5BIJAK keseluruhannya agak lemah dalam menguasai pembelajaran semasa proses P&P dijalankan di kelas. Kebanyakan daripada mereka agak kurang motivasi untuk belajar. Hanya sebahagian kecil murid sahaja yang nampaknya ada minat dan ada potensi untuk maju dalam pelajaran Matematik.
Semasa murid – murid mempelajari topik – topik awal seperti Nombor Bulat, Operasi Tambah dan Operasi Tolak proses pembelajaran agak memberangsangkan. Begitu juga dengan keputusan ujian sumatif agak memuaskan sesuai dengan tahap murid. Namun demikian, setelah masuk ke tajuk Operasi Darab momentum murid - murid merudum. Murid gagal menguasai kemahiran operasi darab yang diajar. Keputusan ujian pra amat mendukacitakan. 45.45% murid mendapat markah di bawah 40%.
Kaedah hafal dan tanya yang dipraktikkan sewaktu proses P&P gagal untuk menarik minat murid menghafal sifir. Perkara ini berlaku adalah disebabkan tiada rangsangan positif yang boleh menggerakkan murid – murid menghafal sifir.
Sekiranya perkara ini tidak diperbetulkan dari awal, akan mendatangkan masalah kepada murid – murid ini untuk meneruskan pembelajaran di dalam topic – topik lain yang melibatkan operasi darab.
2.0 ISU KEPERIHATINAN / FOKUS KAJIAN
Fokus kajian adalah menjurus kepada masalah menyelesaikan masalah mendarab lebih dua digit dengan dua digit.
Setelah diselidik, didapati faktor yang menyebabkan murid menghadapi masalah mendarab lebih dua digit dengan dua digit adalah kerana, mereka gagal menghafal sifir dan melakukan kesilapan dalam menyusun nombor.
Berpandukan soal selidik ini kami cuba mengatasi masalah ini dengan cara menggunakan KAEDAH MAYAN dan MUZIK BIJAK SIFIR. Dua kaedah ini diguna pakai kerana secara psikologi, muzik dan lukisan dapat merangsang fikiran kreatif murid dan dua bidang ini adalah bidang yang disukai oleh murid – murid.
3.0 OBJEKTIF KAJIAN
Selepas kajian ini selesai dijalankan diharap murid – murid akan mencapai objektif berikut:
Objektif umum
Meningkatkan peratus kelulusan Matematik Tahun 5B
Objektif Khusus
Murid dapat menguasai operasi darab dengan menggunakan KAEDAH MAYAN dan KAEDAH MUZIK BIJAK SIFIR;- murid dapat menyelesaikan semua soalah lembaran kerja yang diberikan mengikut masa yang ditetapkan. Murid lulus ujian pos yang melibatkan operasi darab panjang.
4.0 KUMPULAN SASARAN
Kajian ini melibatkan 22 orang murid Tahun 5BIJAK yang terdiri daripada 19 orang murid Melayu dan 3 orang murid India.
5.0 PELAKSANAAN KAJIAN
5.1 TINJAUAN MASALAH
Dalam pelaksanaan kajian ini, tinjauan masalah telah dibuat berdasarkan pemerhatian, soal selidik awal, ujian pra, ujian pos, soal selidik akhir dan memberi bintang dan ganjaran.
5.1.1 Pemerhatian
Kami telah membuat pemerhatian ke atas tingkahlaku murid – murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung sebelum dan selepas kajian. Sebelum kajian dijalankan murid – murid kurang memberi perhatian kepada soalan yang dikemukakan dan tidak berminat untuk menjawab soalan yang diberikan dengan bersungguh – sungguh terutama murid – murid yang agak lemah. Sebaliknya setelah melaksanakan kajian murid- murid lebih berminat dan berusaha menjawab soalan latihan yang diberikan.
5.1.2 Soal – selidik
Borang soal selidik telah disediakan dan diedarkan kepada murid – murid untuk mendapatkan maklumbalas daripada murid – murid berkenaan pandangan mereka terhadap subjek matematik, kemahiran operasi darab dan sifir darab. Borang soal selidik ini diedarkan sebanyak 2 kali iaitu pada awal kajian dan di akhir kajian.
5.1.3 Ujian Pra dan Pos
Set ujian pra diberikan kepada kumpulan sasaran pada awal kajian untuk mengesan sejauh mana penguasaan dan kefahaman mereka terhadap kemahiran penyelesaian soalan operasi darab dan secara tidak langsung dapat mengesan kelemahan penguasaan sifir darab di kalangan murid – murid. Item ujian pra ini mengandungi 10 soalan berkaitan fakta asas darab yang melibatkan soalan darab empat nombor dengan dua nombor. Masa yang diberikan adalah 30 minit.
Dapatan daripada ujian pos:
Jumlah kesalahan Jumlah murid Peratus (%)
1 3 13.64
2 5 22.72
3 2 9.09
4 1 4.54
5 0 0
6 0 0
7 1 4.54
8 3 13.64
9 0 0
10 6 27.27
Peratus murid yang mendapat kurang daripada 40% markah adalah seramai 45.45%
Dapatan ujian pos:
Peratus murid yang mendapat markah 70% ke atas adalah seramai 90.9%
5.2.3 Analisis Soal Selidik
Murid – murid telah memberikan respon yang positif terhadap kaedah ini. Berikut adalah analisis soal selidik yang telah dijawab oleh murid – murid.
Skala Likert: Ya Tidak
Soalan Ya Tidak
1. Saya suka dan minat mata pelajaran Matematik
18
4
2. Saya faham apabila guru mengajar Matematik dalam B.Inggeris
2
20
3. Saya boleh menghafal dan mengingati sifir dengan baik
13
9
4. Saya suka membuat latihan dalam operasi darab
20
2
5. Saya suka dengan Kaedah MAYAN
20
2
6. Saya suka lagu bijak sifir
21
1
7. Saya dapat menguasai operasi darab dengan adanya Kaedah MAYAN yang diajar guru saya
20
2
8. Saya suka menghafal menggunalan lagu bijak sifir
20
2
5.3 TINDAKAN YANG DIJALANKAN
1. Setelah murid – murid menjalani Ujian Pra, murid – murid telah diberikan motivasi untuk menguasai sifir dengan menggunakan Kaedah LAGU BIJAK SIFIR.
2. Murid – murid telah dibimbing untuk melukis garisan Mayan yang mewakili setiap angka dalam soalan darab.
3. Murid – murid juga dibimbing dalam menggunakan Kaedah MAYAN dalam penyelesaian operasi darab.
4. Murid – murid diberikan latih tubi dalam operasi darab menggunakan KAEDAH MAYAN.
5.4 PELAKSANAAN TINDAKAN DAN PEMERHATIAN / PENILAIAN
Kajian Tindakan ini telah dilaksanakan dalam tempoh dua minggu. Setiap kali waktu mata pelajaran Matematik, murid – murid telah dibimbing untuk melukis garisan dengan betul dan cara pengiraan di dalam KAEDAH MAYAN dan setiap kali sesi P&P akan dimulakan dengan memperdengarkan Lagu Bijak Sifir.
Murid – murid telah menjalani ujian pos 1 seminggu setelah diperkenalkan dengan KAEDAH MAYAN. Ujian pos 2 pula telah dijalankan sebulan selepas itu. Selepas ujian pos 2, murid – murid telah dikehendaki mengisi borang soal selidik untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai kaedah ini. Tuuan mengedarkan boring soalselidik ini ialah supaya murid – murid lebih selesa dan bebas untuk menjawab berbanding mendapatkan maklumat secara temubual.
Berdasarkan pemerhatian, didapati murid – murid lebih mudah untuk mengingati sifir dan mereka telah menunjukkan prestasi yang baik untuk menguasai sifir ini.
5.5 REFLEKSI KAJIAN
Pencapaian pelajar dalam Ujian Pra, Pos 1 dan Pos 2 telah menunjukkan peningkatan yang baik. Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa teknik ini telah membantu murid – murid meningkatkan keyakinan diri, kefahaman dan daya ingatan terhadap sesuatu yang telah dipelajari serta menjadikan suasana pembelajaran menjadi lebih bersemangat dan ceria. Murid – murid juga telah menunjukkan minat terhadap matapelajaran Matematik terutamanya di dalam operasi darab.
6.0 CADANGAN UNTUK KAJIAN SETERUSNYA
Beberapa cadangan untuk kajian seterusnya adalah seperti berikut:
a) Kaedah ini akan dikembangkan kepada kelas yang lain.
b) Teknik atau kaedah ini haruslah digunakan apabila memasuki tajuk operasi darab.
c) Guru sentiasa melatih murid menggunakan kaedah ini agar tahap kecekapan murid dalam kaedah ini dapat dipertingkatkan.
d) Murid – murid perlu diberikan dengan latihtubi untuk membantu mereka mengingat dengan baik.
Hasil daripada kajian yang dijalankan didapati, murid – murid dapat menerima sesuatu yang baru yang dapat membantu mereka mengingati sifir dan melaksanakan operasi darab. Di samping itu juga ia dapat membantu menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik.