Perbezaan dan kepelbagaian sosio-budaya sukar untuk dinafikan dalam sebuah Negara seperti Malaysia yang lahir dari kelompok masyarakat yang berbilang etnik iaitu Melayu, Cina, dan India yang menjadi majoriti terbesar serta kaum pribumi Sabah dan Sarawak serta orang asli dan kaum – kaum lain menjadi kaum minoriti. Setiap etnik membawa sosio-budaya yang berbeza yang diwarisi dari nenek - moyang yang terdahulu.
Sebelum membincangkan lebih lanjut berkaitan kepelbagaian sosio-budaya, terlebih dahulu dihuraikan maksud budaya itu sendiri. Apakah yang dimaksudkan dengan sosio-budaya? Menurut ensiklopedia bebas http://ms.wikipedia.org/ budaya atau kebudayaan (daripada perkataan Sanskrit buddayah, yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi, yang bermaksud budi pekerti atau akal) secara amnya membincangkan hal – hal berkaitan budi dan akal manusia. Manakala daya ialah perkataan Melayu Polynesia bermakna kekuatan kuasa, tenaga dan pengaruh. Apabila ke dua – dua perkataan ini dicantumkan (budaya) membawa maksud tenaga, fikiran, usaha rohani atau kuasa yang menggerakkan jiwa.
Menurut Kamus Dewan Edisi ke 3,1996,m/s:180 menyatakan budaya dapat ditakrifkan sebagai tamadun atau peradaban. Ia juga bermaksud kemajuan fikiran atau akal budi (cara berfikir dan berkelakuan).
Dr. Mohd. Arshad Hj. Taib ( bekas professor Madya UiTM) telah menyatakan dalam laman web http://dppwp.wordpress.com/usrah/pembangunan -sistem-sosio-budaya-islam-dalam-kontek-masyarakat-malaysia/ maksud sosio-budaya ialah amalan yang berupa gaya hidup dan peradaban bagi sesuatu masyarakat, lahir dari pegangan dan kecenderongan diri masyakarat berkenaan dalam berbagai bidang hidup, untuk memberi kepuasan dan meransang pembangunan hidup masyarakat tersebut.
Sementara itu menurut Andreas Eppink pula, kebudayaan ialah keseluruhan pengertian, nilai, norma, ilmu pengetahuan serta struktur – struktur kemasyarakatan, keagamaan selain penghasilan seni dan intelektual yang membentuk ciri – ciri khas sesebuah masyarakat. Pengertian sebegini dipersetujui oleh Edward B. Taylor. Beliau memandang budaya sebagai satu konsep menyeluruh yang rumit yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, tatasusila, undang – undang, adat resam dan lain – lain kebolehan serta kebiasaan yang diperoleh oleh manusia sebagai anggota masyarakat.
Dalam konteks pendidikan, kepelbagaian sosio budaya individu itu bukan sahaja dilihat dari ras, etnik dan adat budaya mereka sahaja. Malah ia juga merangkumi skop yang lebih besar. Menurut Papalia (2001) individu manusia itu berbeza dari segi jantina, saiz badan, kesihatan, tahap tenaga, personaliti dan emosi. Manakala Slavin (1997) pula mengaitkan perbezaan individu dengan konteks pengajaran dan pembelajaran. Beliau mengatakan kepelbagaian pelajar terdapat dalam tahap prestasi, kadar belajar, gaya kognitif, etnik, budaya, kelas sosial, bahasa, jantina , bakat dan minat.
Kepelbagaian sosio-budaya di antara murid memberi implikasi secara langsung terhadap guru dan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Implikasi kepada guru
‘…kita mempunyai peranan yang penting dalam pembentukan minda dan jiwa rakyat untuk membawa kita kea rah wawasan yang ingin kita capai”
Dato’ Sri Abdullah Ahmad Badawi PIPP 2006-2010 m.s 38
Pelajar pada masa kini, mempunyai potensi yang tinggi untuk dikembangkan supaya menjadi rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta member sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan Negara.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan, 1988
Manakala menurut Dato’ Panglima Sri Najib Tun Abd. Razak, dalam konsep 1 Malaysia, kerajaan perlu memulakan polisi yang kelihatan adil dan dilaksanakan dengan komitmen membantu tanpa melihat ras dan etnik. Selagi seseorang itu memegang status sebagai warga Negara Malaysia, mereka layak menerima bantuan tanpa melihat dari kaum mana mereka datang. Setiap rakyat Malaysia sepatutnya berupaya untuk memenuhi sepenuhnya dari segi pembangunan diri mereka tanpa mengira jantina.
Natijahnya, tanggungjawab dan amanah ini terletak dipundak guru yang mengajar mengenal tulis baca. Guru perlu berkemahiran menangani masalah kepelbagaian sosio-budaya murid – murid agar masalah guru ‘syok sendiri’ dalam mengajar tidak berlaku.
Sewajibnya guru perlu berkemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran yang merangkumi aspek perancangan dan perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang dapat menjamin kemajuan pelajar secara optimum. Sebagai seorang guru perkara – perkara pokok seperti perancangan pengajaran dan pembelajaran yang sesuai, spesifik dan relevan dengan objektif pembelajaran, persekitaran bilik darjah, masa yang diperuntukkan dan profil pelajar mengikut tahap kecerdasan.
Dalam erti kata lain, elemen yang perlu dikuasai oleh setiap guru untuk menjadikan pengajarannya berkesan meliputi kesesuaian bahan pengajaran, sumber pembelajaran, penglibatan aktif murid, penilaian prestasi, pengukuran dan penambahbaikan. Selain itu guru perlu mahir dalam menguruskan bilik darjah dan mengintegrasikan TMK.
Murid adalah pelanggan manakala guru merupakan individu yang menawarkan perkhidmatan. Oleh itu perkhidmatan yang diberi haruslah mengiktu standard yang telah ditetapkan oleh majikan iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia.
“orang ramai semakin kerap mempersoalkan kualiti pendidikan di sekolah, seolah – olah tidak lagi menaruh keyakinan kepada kewibawaan sekolah dalam hal ehwal mendidik, terutama apabila mendapati kelakuan murid lepasan sekolah tidak seperti yang diharapkan oleh masyarakat dan Negara. Kecemerlangan pada sijil peperiksaan mereka secara realitinya tidak memperlihatkan kematangan berfikir, kepetahan berkomunikasi, ketokohan sebagai pemimpin, kemurnian tingkah laku, keupayaan mencipta dan menyumbang kepada pemajuan Negara-bangsa dan global’
(Dasar Standard Tinggi Kualiti Pendidikan, Jemaah Nazir Sekolah (2001):hlm 24)
Bertitik tolak dari pernyataan di atas, pengajaran dan pembelajaran yang berkesan boleh ditakrifkan sebagai proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang berkualiti iaitu proses yang dapat mengembangkan potensi insan dari segi psikomotor, kognitif dan afektif ke tahap yang optimum.
Merujuk kepada Dasar Pernyataan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan Malaysia, (2001), proses pengajaran dan pembelajaran perlu dirancang dan dilaksanakan mengikut beberapa prinsip yang digariskan. Antaranya ialah:
a) Pendekatan, kaedah dan teknk yang dipelbagaikan dengan melibatkan murid secara aktif;
b) Berpandukan bahan – bahan sokongan yang relevan dengan tahap pencapaian semasa, potensi dan kemajuan murid;
c) Penilaian dan penambahbaikan P&P secara berterusan.
Berdasarkan apa yang dinyatakan di atas, seseorang guru haruslah peka dengan kepelbagaian sosio-budaya murid – muridnya. Pendekatan yang bijak harus digunakan dengan tidak membezakan kelas sosial murid. Murid hendaklah dilayan sama rata tanpa mengira samada mereka dari kelas atasan atau bawahan.
Perbezaan tahap kecerdasan murid juga harus dititik beratkan oleh seseorang guru dalam menyampaikan pelajaran. Guru harus mempelbagaikan kaedah pengajaran bersesuaian dengan tahap murid. Perkara ini perlu untuk mengelakkan murid – murid merasa bosan dan seterusnya akan mengakibatkan masalah disiplin yang sukar dikawal.
Guru juga harus bijak mencetuskan situasi pembelajaran yang mesra rakan. Aktiviti yang melibatkan interaksi di kalangan murid haruslah sentiasa dijalankan agar murid dapat menjalinkan hubungan yang lebih mesra sesama mereka tanpa mengira latar belakang sosial dan kecerdasan individu.
Sebagai seorang yang menawarkan perkhidmatan, pelanggan iaitu murid haruslah sentiasa dihormati dan bersikap adil kepada mereka. Hukuman berbentuk deraan dan memalukan seharusnya tidak dilaksanakan kerana akan menyebabkan hubungan guru dengan murid akan renggang dan menghilangkan minat untuk mereka meneruskan pembelajaran.
Murid yang lambat menerima pembelajaran tidak diabaikan. Pelbagai kaedah dan strategi boleh dirancang dan dilaksanakan dalam mengatasi masalah murid – murid sedemikian.
Penggunaan bahasa standard iaitu bahasa rasmi kebangsaan iaitu bahasa Melayu hendaklah digunakan tanpa pengaruh bahasa dialek. Ini akan member peluang sama rata kepasa semua murid untuk mengambil bahagian dalam aktiviti pembelajaran.
Aktiviti pembelajaran yang dirancang oleh guru seharusnya boleh member peluang kepada semua murid tanpa mengira etnik dan jantina. Isu yang mempunyai unsur bias kepada mana – mana jantina mesti dielakkan untuk member peluang sama rata pada setiap murid meneroka aktiviti pembelajaran. Bagi murid yang kecelaruan jantina, menjadi tanggungjawab guru untuk membentuk persepsi yang positif di kalangan murid supaya mereka tidak terus hidup dengan kecelaruan tersebut.
Isu sensitif berkaitan dengan agama dan kaum hendaklah dielakkan sama sekali. Setiap kepercayaan dan nilai haruslah diterima seadanya oleh setiap guru. Aktiviti pembelajaran yang dirancang hendaklah menjurus kepada penglibatan semua murid tanpa mengira kaum, adat budaya dan pegangan agama mereka.
Catatan kemajuan dan kelemahan yang terdapat dalam pengajaran dan pembelajaran hendaklah dicatatkan sebagai refleksi atau impak di akhir sesi pembelajaran. Ini akan memudahkan guru untuk merancang strategi dan kaedah yang sesuai untuk mengatasi kelemahan.
Guru yang berwibawa sentiasa memikir kaedah bagi mencapai pengurusan yang cemerlang yang mana fokus utama ialah mengetahui dan memahami bidang kerjayanya, menghayati hasil kerja atau objektif kerja untuk jangka panjang dan jangka pendek, kerja yang dilakukan lebih spesifik, boleh diukur pencapaiannya, boleh dicapai, realistic dan bijak dalam pengurusan masa.
Guru merupakan ejen perubahan dan sumber inspirasi kepada murid. Anjakan paradigma haruslah dilakukan oleh setiap guru dan tidak berada di zon selesa sentiasa. Guru haruslah pro-aktif dalam mengatasi kelebihan dan kelemahan muridnya. Penyampaian pengajaran guru haruslah kreatif dan efektif, menarik dan menyeronokkan.
Secara ringkasnya dapat disimpulkan pengajaran berkesan oleh guru bukan sahaja meliputi aspek kurikulum yang diajar di dalam bilik darjah, malahan meliputi skop yang lebih luas seperti gaya kepimpinan, budaya ilmu dan berfikir, pengurusan bilik darjah, motivasi dan dorongan serta kepimpinan kurikulum di tempat kerja.
Implikasi kepada murid
Murid adalah pelanggan bagi setiap guru di dalam bilik darjah. Mereka akan bersama setiap kali aktiviti pengajaran dan pembelajaran berlangsung dalam bilik darjah mahupun di luar bilik darjah. Sebagai seorang pelanggan, kita haruslah melayan mereka dengan adil dan saksama. Ini termaktub di dalam perlembagaan persekutuan;
Perkara 12. Hak berkenaan dengan pendidikan.
(1) Tanpa menjejaskan keluasan Perkara 8, tidak boleh ada diskriminasi terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan atau tempat lahir—
(a) dalam pentadbiran mana-mana institusi pendidikan yang disenggarakan oleh suatu pihak berkuasa awam, dan, khususnya, kemasukan murid-murid atau pelajar-pelajar atau pembayaran fi; atau
(b) dalam memberikan bantuan kewangan daripada wang sesuatu pihak berkuasa awam bagi penyenggaraan atau pendidikan murid-murid atau pelajar-pelajar di mana-mana institusi pendidikan (sama ada disenggarakan oleh suatu pihak berkuasa awam atau tidak dan sama ada di dalam atau di luar Persekutuan).
Petikan perlembagaan Malaysia
Berlandaskan Perlembagaan Malaysia, seharusnya guru mengurus tingkahlaku murid berdasarkan matlamat untuk menghapus atau merapatkan jurang kepelbagaian sosio-budaya di kalangan murid agar prinsip keadilan kesaksamaan dapat dipraktikkan.
Antara perkara yang boleh dijadikan panduan dalam mengurus tingkahlaku murid ialah menyenaraikan maklumat yang perlu murid ketahui tentang peraturan yang wajib mereka patuhi sepanjang masa pengajaran dan pembelajaran. Murid harus bersosial dalam melakukan aktiviti pembelajaran. Murid harus berinteraksi tanpa mengira kelas sosial dan perlu membuang sikap prajudis terhadap bangsa lain.
Kepercayaan dan amalan agama yang dianuti tidak harus dipertikan dan aktiviti yang dijalankan haruslah berupaya menyemai semangat saling percaya dan mempercayai ke dalam jiwa murid. Proses sosialisasi antara kaum tanpa mengira anutan agama hendaklah dikembangkan supaya proses pembentukan kendiri murid dapat dilaksanakan. Secara langsung semangat perpaduan dapat dijalinkan dalam masyarakat dan seterusnya berupaya membentuk masyarakat yang toleran kea rah memacu pembangunan Negara.
Dalam berkomunikasi, penggunaan bahasa standard iaitu Bahasa Melayu harus diamalkan oleh murid. Unsur – unsur dialek mengikut kaum hendaklah dielakkan, penggunaan laras bahasa yang tepat mestilah diamalkan dalam situasi yang sesuai, aktiviti yang bercorak kea rah peningkatan bahasa perlu disertai supaya tahap penguasaan bahasa murid sentiasa bertambah. Perbendaharaan kata yang tepat akan membantu murid mencapai kematangan sosial yang sepatutnya.
Murid juga digalakkan berinteraksi dan berhubung dengan mereka yang berlainan jantina. Mereka juga perlu diberikan kesedaran batasan perhubungan dalam interaksi yang berlainan jantina.
Dalam pengurusan bilik darjah, setiap murid haruslah diberikan peranan dan tanggungjawab tertentu untuk menanam semangat kerjasama dan cintakan kelas mereka. Ahli Jawatan Kuasa keceriaan kelas perlu diwujudkan disamping jawatan ketua kelas dan penolong ketua kelas. Dengan ini setiap murid dapat merasakan diri mereka tidak dipinggirkan di dalam kelas mereka.
Guru sebagai ‘role model’ kepada murid – murid. Murid biasanya akan terpengaruh kepada tindakan guru yang menunjukkan teladan sebagai seorang profesional. Oleh itu guru mesti membentuk program – program yang bertujuan membangunkan murid, dengan peraturan dan arahan yang jelas bagi mengurangkan segala tingkahlaku negative.
Budaya belajar yang ceria, menyeronokkan, menyentuh emosi, disamping meningkatkan kecergasan mental, kreatif dan inovatif dan bermatlamat boleh menarik minat murid.
Pengurusan yang cekap dalam merancang dan melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran akan membantu mengurangkan ketidakseimbangan di dalam penyampaian pelajaran kepada setiap murid. Seharusnya seseorang guru mengenali dan memahami sosio-budaya setiap muridnya agar sesi pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih mudah dan mesra murid.
Cadangan kaedah P&P dalam menangani kepelbagaan sosio-budaya murid
Kepelbagaian sosio-budaya murid member kesan secara langsung terhadap kaedah yang harus digunapakai oleh guru dalam sesi P&P agar setiap murid mendapat peluang sama rata dalam penerimaan pembelajaran.
Acapkali dibaca dan didengar permasalahan masalah disiplin seperti ponteng sekolah, vandalisma dan sebagainya yang dilakukan oleh murid. Walaupun berat untuk diakui, namun kita harus menerima hakikat, salah satu faktor penyebab permasalahan ini adalah datangnya dari guru yang tidak komited terhadap kerjayanya. Seringkali guru menggunakan kaedah yang tidak selari dengan kehendak dan penerimaan murid yang mengakibatkan murid bosan untuk mengikuti P&P.
Mengambil contoh permasalahan yang berlaku kepada etnik Orang Asli, masalah keciciran pendidikan di kalangan etnik ini amat tinggi. Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEO) melaporkan 34.31% dilaporkan tidak menamatkan pendidikan sehingga ke tingkatan lima.
Dalam kes tertentu mungkin terdapat segelintir kanak – kanak Orang Asli yang tidak dapat ke sekolah kerana tergolong sebagai kanak – kanak berkeperluan khas.
Persoalannya, kenapakah anak Orang Asli masih keberatan atau langsung tidak mahu ke sekolah?
Mereka tidak mahu ke sekolah ketika tiba musim buah – buahan. Malah masih ada yang terjajah pemikirannya. Menurut sumber Kementerian Pelajaran, kajian mendapati, ada kalangan ibu bapa Orang Asli yang menanamkan kepercayaan bahawa sekolah tidak akan mengubah masa depan kaum mereka.
Apabila membicarakan tentang budaya pelajar Orang Asli, kita tidak dapat lari daripada isu pembangunan dan budaya pemikiran komuniti Orang Asli yang masih dibelenggu struktur persekitaran dan sosial masyarakat mereka sendiri.
Kemelut budaya, sensitif dan malu meminta bantuan guru untuk mengatasi masalah – masalah pembelajaran menyebabkan pelajar Orang Asli terus memendam perasaan tanpa berusaha mengatasi masalah yang dihadapi.
Seandainya guru tidak meratakan jurang kepimpinan dimana guru melakukan proses pengajaran dan pembelajaran sekata antara pelajar, golongan Orang Asli ini akan ketinggalan jika mereka tidak memahami sesuatu kerana budaya yang diwarisi mempengaruhi mereka untuk terus berdiam diri dan memendam rasa tanpa reaksi bahkan mereka akan tersinggung dengan kata – kata guru khususnya di sekolah, mereka akan menyampaikan perilaku guru tersebut kepada ibu bapa. Ibu bapa pelajar Orang Asli mudah percaya dengan aduan anak mereka dan ini menyumbang kepada faktor ponteng sekolah seterusnya akan mematikan minat untuk belajar.
Selain daripada itu, budaya mencintai kesenian telah tertanam dalam kehidupan Orang Asli. Mereka suka bermain alat muzik seperti gitar dan dram serta suka menyanyi. Sebagai seorang guru, perkara ini boleh dijadikan kelebihan dalam merancang kaedah P&P yang sesuai untuk menarik minat anak – anak Orang Asli ini mengikuti pelajaran.
Pelajar Orang Asli lebih suka bersantai dan tidak suka dikongkong. Masa lapang mereka dipenuhi dengan aktiviti permainan. Memanjat pokok, menjerat haiwan, dan mandi sungai merupakan aktiviti yang sering dilakukan oleh mereka.
Berdasarkan perkara – perkara di atas, dua kaedah yang dirasakan sesuai dipilih untuk dilaksanakan di dalam kelas yang mempunyai kepelbagaian sosial dan mempunyai anak Orang Asli di dalam kelas tersebut.
Bersambung……..